SHAH ALAM, 21 APRIL: Rumah Selangorku dilihat antara alternatif terbaik membantu rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri, walau faktor lokasi dan kemudahan asas awam perlu terus jadi tumpuan utama.
Pensyarah Perancang Bandar dan Wilayah / Pembangunan Komuniti di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Mujaheed Hassan berkata dasar perumahan mampu milik negeri membantu mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan dan turut menyokong pelaksanaan dasar perumahan negara sedia ada.
“Dari apa yang saya telah kaji, sudah tentu Rumah Selangorku yang diperkenalkan sejak 2013 atau 2014 ini antara alternatif terbaik yang dibuat oleh Kerajaan Selangor untuk bantu penduduk memiliki rumah sendiri.
“Kita semua tahu harga hartanah khususnya di kawasan bandar seperti di Shah Alam itu agak tinggi. Jadi dasar ini mengurangkan beban mereka yang sukar untuk dapatkan rumah sedia ada di kawasan bandar,” katanya kepada Media Selangor.

Namun, Dr Mujaheed menambah, sumber tanah yang semakin terhad di kawasan bandar menyebabkan banyak projek perumahan mampu milik kini tertumpu di pinggir kota sehingga menyebabkan ketidaksepadanan antara permintaan dan bekalan.
Menurutnya, perkara tersebut boleh diselesaikan menerusi pembangunan segera kemudahan infrastruktur serba lengkap di kawasan terbabit selain mengutamakan pembinaan rumah mampu milik berbanding projek perumahan mewah atau komersial.
Jelasnya, lokasi perumahan yang strategik berupaya menambat hati pembeli berbanding pembinaan sesebuah perbandaran baharu yang kebiasaannya mengambil masa sekurang-kurangnya selama 10 tahun.

“Selalunya bila sesebuah pembangunan itu berlaku, perlu ada penduduk dan populasi dahulu. Kita tidak boleh bina pusat komersial dahulu dan kemudian baru bina rumah, tidak.
“Jadi alternatif untuk selesaikan ini, pemaju perlu sekurang-kurangnya sediakan keperluan asas dulu. Mungkin sebuah pusat beli belah kecil, dan cari pelabur yang bersesuaian. Agak mencabar, tapi itu cara yang boleh dipertimbangkan,” katanya.
Dasar Rumah Selangorku mula diperkenalkan secara rasmi pada 1 Januari 2014. Inisiatif tersebut digerakkan oleh Kerajaan Negeri untuk menggantikan dasar perumahan mampu milik terdahulu.
Dasar berkenaan menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan jualan harga rumah antara RM42,000 hingga RM250,000.








