SHAH ALAM, 16 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertindak membersihkan lokasi pembuangan sampah haram di Taman Industri Bolton, Gombak susulan aduan penduduk.
Operasi pembersihan dilaksanakan dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi menghapuskan longgokan sampah bercampur di kawasan berkenaan pada Isnin lalu.
“Tali kuning turut dipasang bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada mengulangi perbuatan tersebut.
“Orang ramai diingatkan untuk tidak membuang sampah di kawasan awam atau lokasi yang tidak dibenarkan,” katanya menerusi Facebook.
Tegas MPS, tindakan kompaun sehingga RM1,000 di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPS) 2007 akan dikenakan kepada mereka yang berdegil.
“Pemantauan di kawasan hotspot akan terus dilaksana dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pembuangan sampah haram,” katanya.










