KUALA LANGAT, 21 OGOS: Projek Rumah Selangorku (RSKU) Adiwarna di Tanjung 12 di sini mendapat sambutan menggalakkan apabila kesemua 548 unit bagi fasa pertama habis terjual dalam tempoh setahun.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata Adiwarna merupakan projek pertama di Kuala Langat yang menawarkan 100 peratus unit RSKU di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam pembangunan Kota Seri Langat.
Menurutnya, Adiwarna mengetengahkan konsep ‘Villament’ menerusi RSKU Jenis D, iaitu apartmen dua tingkat yang menggabungkan ciri kediaman bertanah dan rumah bandar.
“Konsep ini sangat baik kerana bagi kawasan luar bandar atau separa bandar, penduduk lebih berminat dengan rumah yang bersifat townhouse kerana mereka suka ada sedikit halaman di bahagian depan dan belakang.
“Setiap unit mempunyai tiga bilik, dua bilik air dan dua parkir persendirian bersebelahan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Rumah Contoh Adiwarna di Tanjung 12, di sini, hari ini.

Kediaman berkenaan berkeluasan kira-kira 1,141 kaki persegi bagi tingkat bawah dan 1,432 kaki persegi bagi tingkat atas, dengan harga jualan RM290,000 seunit.
Antara ciri reka bentuknya termasuk kelebaran hadapan 38 kaki, pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, “green backlane” (lorong belakang hijau) bagi unit tingkat bawah serta tangga persendirian dan balkoni bagi unit tingkat atas.
Pembangunan itu turut dirancang dengan pelbagai kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, gimnasium terbuka, kawasan lapang, kebun komuniti, trek joging serta kawalan keselamatan.
Borhan berkata fasa 2 pula dirancang melibatkan 804 unit dengan jangkaan siap pada Julai 2029, manakala keseluruhan pembangunan bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) melibatkan kawasan lebih 160 hektar.
Katanya, projek fasa 1 disasarkan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada akhir tahun ini, sebelum kunci diserahkan kepada pembeli menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.
“Projek pertama ini sudah habis terjual, jadi kita menunggu pula projek kedua dan ketiga. Saya berharap ia dapat disiapkan dan saya diberi jaminan bahawa sebelum hari raya tahun depan, kunci akan diserahkan kepada semua pembeli,” katanya.









