SHAH ALAM, 16 APRIL: Permohonan Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2026 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang dibuka bermula semalam hingga 15 Mei ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada kerja baik pulih serta naik taraf infrastruktur sekolah.
"Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi di https://akses.selangor.gov.my/," katanya di Facebook.
Maklumat lanjut atau panduan berkaitan permohonan boleh emel ke bantuansekolah@selangor.gov.my atau hubungi 03-5521 2595, 03-5544 7538 dan 03-5521 2561.
Wei Kiat berkata program itu dijangka memberi manfaat kepada sekolah di DUN Rawang melalui penambahbaikan kemudahan asas, sekali gus meningkatkan kualiti pembelajaran.
Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM26.624 juta bagi program bantuan sekolah, khusus untuk membaik pulih infrastruktur sekolah.
Dana itu memberi manfaat kepada 873 sekolah melibatkan tujuh kategori, termasuk sekolah agama rakyat.








