SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 54 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang yang menunaikan ibadah haji tahun ini menerima Insentif Haji Muassasah berjumlah RM1,500 seorang daripada Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan sebahagian kos ibadah berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata insentif tersebut diharap dapat memberi sedikit kelegaan kepada penerima yang telah menunaikan Rukun Islam kelima itu.
“Insentif RM1,500 daripada Kerajaan Negeri ini diharap dapat membantu meringankan sebahagian kos yang ditanggung oleh penerima ketika menunaikan ibadah haji,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Wei Kiat berkata ibadah haji bukan sahaja memerlukan persediaan dari segi fizikal dan rohani, malah aspek kewangan juga perlu dirancang lebih awal.
Justeru, katanya, amalan menyimpan menerusi Tabung Haji penting bagi membantu umat Islam membuat persediaan secara lebih terancang untuk menunaikan ibadah berkenaan.
“Tahniah kepada kesemua 54 penduduk DUN Rawang yang telah selesai menunaikan ibadah haji dan selamat kembali ke tanah air. Semoga pengalaman dan perjalanan ini terus menjadi kenangan yang bermakna,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan seramai 6,000 bakal jemaah haji muassasah di negeri itu menerima Insentif Haji Muassasah 1447H/2026M berjumlah RM1,500 seorang.
Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9 juta bagi program berkenaan dengan kadar bantuan dinaikkan kepada RM1,500 berbanding RM500 sebelum ini, sekali gus mencerminkan peningkatan hasil negeri yang membolehkan manfaat lebih besar disalurkan kepada rakyat.







