Bekas pengarah pusat pendidikan IPTA disyaki salah guna kuasa direman lima hari

15 Apr 2026, 11:29 AM
Bekas pengarah pusat pendidikan IPTA disyaki salah guna kuasa direman lima hari

SHAH ALAM, 15 APRIL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pengarah pusat pendidikan sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bergelar Datuk selepas disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan menggunakan wang berjumlah kira-kira RM1 juta bagi tujuan peribadi.

Suspek berusia 60-an itu ditahan jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2023 hingga 2025 ketika memegang jawatan sebagai pengarah pusat pendidikan IPTA berkenaan.

Katanya, suspek juga dipercayai mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat yang terbabit secara langsung dengan pusat pendidikan itu dan menggunakan wang berkenaan untuk kepentingan peribadi.

"Susulan siasatan itu, SPRM kemudiannya membekukan empat akaun bank iaitu satu akaun syarikat dan tiga akaun individu berjumlah keseluruhan kira-kira RM600,000," katanya hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan menjurus kepada siasatan jenayah dan tatakelola.

Perintah reman lima hari sehingga 19 April terhadap suspek juga sudah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.