Empat kanak-kanak warga Myanmar direman, didakwa ugut warga emas

27 Okt 2026, 12:45 PM
Empat kanak-kanak warga Myanmar direman, didakwa ugut warga emas

SHAH ALAM, 27 OKT: Empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga emas di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 71 tahun semalam berhubung kejadian yang didakwa berlaku di hadapan rumahnya.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang, 22 Oktober lalu ketika mangsa menegur sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana membuat bising.

Bagaimanapun, teguran wanita itu didakwa tidak diendahkan sebelum kumpulan berkenaan bertindak membaling batu dan melontarkan batang besi ke arahnya.

“Bagaimanapun, teguran itu tidak diendahkan sebelum pengadu mendakwa kumpulan itu bertindak membaling batu dan melontarkan batang besi ke arahnya, namun objek berkenaan tidak mengenainya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Nik Aminuddin berkata, tindakan kumpulan terbabit menyebabkan mangsa ketakutan sebelum membuat laporan polis semalam.

Susulan laporan itu, polis menahan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar dalam beberapa serbuan di sekitar Taman Sri Rambai bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dan dikenakan perintah reman empat hari bermula hari ini hingga 30 Oktober bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.