KUALA LUMPUR, 24 NOV: Tempoh reman empat pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membantu siasatan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan disambung empat hari lagi bermula esok hingga 28 Nov.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata tempoh reman pertama kesemua pegawai terbabit selama tujuh hari sejak 18 Nov lepas tamat hari ini.
Beliau berkata seorang lagi pegawai TUDM yang ditahan di Labuan dan tempoh reman pertamanya selama lapan hari berakhir esok turut akan dimohon sambungan reman pada hari sama.
Selain itu, polis akan memohon sambungan reman terhadap dua orang awam yang ditahan di Labuan serta dua pegawai TUDM yang ditahan di Tawau, Sabah, apabila reman selama tujuh hari terhadap mereka tamat Jumaat ini.
“Pada masa sama, empat orang awam yang ditahan di Cheras, di sini, telah ditangkap semula bagi membantu siasatan kes melibatkan TUDM itu dan direman tujuh hari bermula hari ini hingga 30 Nov,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Minggu lepas, Hussein memaklumkan polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan menerusi operasi di Lembah Klang dan Labuan.
Dalam operasi itu, polis merampas 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram cecair bahan kimia.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini memaklumkan penahanan itu susulan penemuan dadah yang disembunyikan dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang.
Dadah berkenaan dikesan menerusi pemeriksaan rutin terhadap barangan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM, sekali gus menjadikan kejadian itu kes pertama seumpamanya berjaya dipatahkan menerusi prosedur pemeriksaan berkenaan.







