SPRM reman dua tokoh korporat adik-beradik, 15 kereta mewah antara disita

1 Okt 2026, 12:16 PM
SPRM reman dua tokoh korporat adik-beradik, 15 kereta mewah antara disita

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Dua tokoh korporat yang juga adik-beradik bergelar Datuk Seri dan Datuk Wira direman lima hari bagi membantu siasatan kes disyaki bersubahat menyeleweng serta menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pelaburan bernilai kira-kira RM10 juta.

Perintah reman bermula hari ini hingga 5 Oktober terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dan 50-an ditahan kira-kira 9 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sumber berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan itu pada penghujung 2020.

“Kedua-dua suspek juga dipercayai bersubahat dengan seorang pegawai sebuah yayasan berasaskan pendidikan untuk meluluskan pelaburan berjumlah kira-kira RM10 juta kepada sebuah syarikat pelaburan milik abang kepada suspek pertama, iaitu Datuk Seri berusia lingkungan 40-an,” katanya.

Sumber itu berkata SPRM turut menyita 15 kereta mewah, 12 motosikal berkuasa tinggi, lima jam tangan mewah, tiga gelang tangan serta wang tunai kira-kira RM30,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.