SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengumumkan beberapa langkah strategik bagi memastikan kedudukan kewangan Selangor kekal mampan susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat, menerusi sidang khas media esok.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat EXCO–MTES yang dipengerusikannya hari ini termasuk taklimat persediaan Selangor dalam menangani krisis Asia Barat.
Turut diadakan taklimat berhubung kawalan perbelanjaan awam negeri bagi mengurus impak krisis tersebut, termasuk strategi kawalan perbelanjaan bagi 2026.
“Setibanya saya dari Barcelona, pagi ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat EXCO–MTES Bil. 6/2026 bagi meneliti beberapa taklimat penting berkaitan kesiapsiagaan negeri Selangor dalam mendepani ketidaktentuan global ketika ini.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan kedudukan kewangan negeri kekal mampan, di samping menjamin kesinambungan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat dalam suasana ekonomi yang mencabar.
“Beberapa pengumuman berkaitan pelaksanaan langkah tersebut akan dimuktamadkan segera dan akan saya umumkan esok,” katanya menerusi Facebook.
Amirudin menegaskan segala keputusan yang dipersetujui akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara.
Sebelum ini, Amirudin mengumumkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor.
Menurut beliau, pasukan itu turut dianggotai Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Dato’ Mohamed Rafique Merican.
Pasukan khas itu akan mencadangkan langkah segera untuk mengurangkan kesan kepada rakyat serta merangka tindakan sehingga tempoh setahun sekiranya perang ini berterusan.
Amirudin sebelum ini turut memaklumkan, Kerajaan Negeri akan menyemak semula Belanjawan Selangor 2026 bagi memberi penekanan kepada kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat terkesan.
Menurutnya, semakan semula Belanjawan Selangor 2026 akan memberikan fokus kepada kos sara hidup dan bantuan kepada rakyat yang terkesan, sokongan kepada industri, serta meneroka peluang seperti peralihan tenaga secara lebih pantas.









