KPDN Selangor tumpas cubaan seludup diesel di Klang

14 Apr 2026, 6:50 AM
KPDN Selangor tumpas cubaan seludup diesel di Klang
KPDN Selangor tumpas cubaan seludup diesel di Klang
KPDN Selangor tumpas cubaan seludup diesel di Klang

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya membanteras aktiviti penyeludupan diesel selepas menyerbu sebuah stesen minyak di Klang, awal pagi semalam.

Serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu membawa kepada rampasan sebuah lori jenis ‘bonded’ yang didapati sedang memindahkan bahan api secara mencurigakan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata pemeriksaan lanjut menemukan satu unit ‘skid tank’ berkapasiti 5,000 liter yang mengandungi kira-kira 1,000 liter diesel dipercayai untuk tujuan penyelewengan.

Menurutnya, pihaknya menyita lori bersama bahan api berkenaan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM50,000.

“Seorang pemandu warga tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi tujuan siasatan dan rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek gagal mengemukakan dokumen sah bagi memiliki dan membawa barang kawalan berjadual itu.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Seksyen 21 dibaca bersama Peraturan 3(1) kerana memiliki barang kawalan dengan syak munasabah untuk berurus niaga tanpa lesen sah.

Dalam masa sama, stesen minyak terbabit turut dikenakan tindakan dan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana dipercayai menjalankan urus niaga tanpa lesen.

Mohd Hanizam berkata, KPDN Selangor akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di stesen minyak seluruh negeri menerusi tujuh pejabat cawangan termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Sepang, Kajang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu.

“Tindakan tegas ini bagi memastikan pengagihan bahan api bersubsidi dilaksanakan secara telus dan sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Beliau menambah, langkah berkenaan penting susulan tekanan kos akibat ketidaktentuan pasaran tenaga global, dengan subsidi diesel dianggarkan mencecah RM2.2 bilion sebulan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.