Serbuan APMM gagalkan kemasukan pendatang tanpa izin di Klang

13 Apr 2026, 1:12 PM
Serbuan APMM gagalkan kemasukan pendatang tanpa izin di Klang

SHAH ALAM, 13 APRIL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan 12 pendatang tanpa izin dalam satu operasi bersepadu di pesisir Pantai Batu Laut, Klang awal pagi semalam.

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan itu dilakukan sekitar 2.30 pagi menerusi Ops Ehsan dan Ops Khas Tanjung 2 Siri 1/2026 yang membawa kepada tindakan pantas pasukan penguat kuasa ke lokasi.

“Operasi melibatkan kejar buru di laut sebelum serbuan serentak dilaksanakan di darat dan perairan bagi mengekang cubaan kemasukan pendatang tanpa izin menggunakan laluan tidak sah.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (dua lelaki dan tiga wanita) dan Myanmar (seorang lelaki, tiga wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan) berusia antara tiga hingga 39 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas kesemua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata sebuah kereta dipercayai digunakan oleh tekong darat turut dirampas dan kenderaan terbabit bersama kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.