SHAH ALAM, 5 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah kapal tangki bersama seorang kapten dan 21 kru warga asing kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan negeri itu, tengah malam tadi.
Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan kapal tangki itu dilakukan kira-kira 12.30 tengah malam hasil pemantauan radar, sebelum sebuah bot peronda digerakkan ke lokasi sejauh 18.9 batu nautika barat daya, Kuala Sungai Besar.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan dikendalikan kapten rakyat China bersama 21 kru terdiri daripada 11 warga China, lapan Myanmar dan dua Bangladesh berusia antara 24 dan 52 tahun.
“Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun kapten gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh.
“Kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perintah penahanan telah dikeluarkan dan kapten bersama pegawai jurutera kapal dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan kira-kira 5.10 petang semalam di kedudukan 1.55 batu nautika barat Kapar selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan lelaki tempatan berusia 45 tahun dan gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kebenaran menjalankan aktiviti penangkapan ikan,” katanya.
Abdul Muhaimin berkata bot dan individu terbabit dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti haram di perairan Selangor.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi APMM Selangor di 013-660 6652 untuk tindakan segera.
- BERNAMA



