Operasi MPAJ: Premis siber beroperasi lebih masa, penjaja dikompaun

13 Apr 2026, 4:25 AM
Operasi MPAJ: Premis siber beroperasi lebih masa, penjaja dikompaun

SHAH ALAM, 13 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis pusat siber dan penjaja yang melanggar syarat lesen dalam dua operasi berasingan di sekitar Ampang, baru-baru ini.

MPAJ memaklumkan operasi pertama dijalankan di Taman Nirwana dan Pandan Indah pada 11 April bagi memantau pematuhan waktu operasi premis pusat siber.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis terlibat beroperasi melebihi had masa dibenarkan walaupun mempunyai lesen sah.

"Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan pengeluaran kompaun terhadap premis yang melanggar syarat lesen," menurut kenyataan itu.

Penjaja dikesan berniaga di laluan pejalan kaki dan ada yang beroperasi tanpa lesen sah. Foto Facebook MPAJ

Dalam operasi berasingan di sekitar Taman Keramat pada 10 April, MPAJ turut mengesan beberapa penjaja menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki selain terdapat yang beroperasi tanpa lesen sah.

Sehubungan itu, kompaun turut dikeluarkan terhadap penjaja yang didapati melanggar peraturan ditetapkan.

"Pemantauan dijalankan bagi memastikan laluan awam tidak disalahgunakan serta menjamin keselamatan dan keselesaan orang awam," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, MPAJ menasihatkan semua pengusaha premis dan peniaga supaya mematuhi syarat lesen serta tidak menjalankan perniagaan di kawasan larangan.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MPAJ atau talian 1-800-22-8100.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.