Amaran ribut petir di banyak negeri hingga 5 petang

12 Apr 2026, 7:14 AM
Amaran ribut petir di banyak negeri hingga 5 petang

SHAH ALAM , 12 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga jam 5 petang ini.

Antara kawasan terjejas ialah Kedah melibatkan Baling dan Kulim, selain beberapa daerah di Perak termasuk Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.

Di Pahang, amaran melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Bera dan Rompin, manakala di Selangor melibatkan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, termasuk Kuala Lumpur.

Negeri Sembilan turut terjejas melibatkan Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol, selain Johor yang melibatkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Di Sarawak, kawasan terlibat termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu, manakala di Sabah melibatkan Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berlaku dalam tempoh lebih sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mengelakkan aktiviti luar sepanjang tempoh cuaca buruk tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.