SHAH ALAM, 12 APRIL: Simpanan duit raya yang konsisten ke dalam Tabung Haji (TH) sejak kecil membolehkan impian empat beradik ke tanah suci tercapai pada usia muda.
Abdul Aziz Hafiz Mohd Fadzil,31, berkata beliau bersama tiga adiknya, Nur Atiqah, 30; Nur Hafifah, 29, dan Abdur Rahman, 27 serta isteri Nur Shazwani Mohamad Radzi, 31, akan berangkat menunaikan rukun Islam ke lima itu 23 April ini.
“Selain duit raya, ibu bapa juga buat simpanan setiap bulan. Bila dah kerja, kami juga tambah simpanan supaya cepat dapat pergi ke tanah suci.

“Kalau ikutkan, giliran kami dalam dua tahun lagi tapi rezeki dapat lebih awal. Kami terima panggilan pada Oktober tahun lalu. Memang teruja untuk tunaikan ibadah ini,” katanya.
Mereka ditemui ketika Kursus Perdana Haji Musim 1447 Hijrah berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini.
Sementara itu, pesara Rosli Mat Moor berkata beliau dan isteri Mazuma Abdul Majid, 54, berkata 90 peratus persiapan mereka ke tanah suci sudah lengkap.

“Baju dan keperluan lain juga sudah disiapkan. Dah masuk beg. Tinggal barang kecil sahaja.
“Berhubung konfik di Asia Barat, kami berserah segalanya kepada Allah SWT. Kami yakin TH mampu menguruskan segalanya,” katanya.
Tahun ini, lebih 8,000 jemaah dari Selangor bakal menunaikan haji dengan penerbangan pertama bermula 18 April ini.










