SHAH ALAM, 11 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri sehingga jam 10 malam ini.
Antara negeri terlibat ialah Perlis serta beberapa kawasan di Kedah termasuk Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap dan Sik.
Di Perak, kawasan terjejas melibatkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, manakala di Terengganu melibatkan Hulu Terengganu dan di Pahang kawasan Lipis.
Di Selangor pula, amaran melibatkan Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, selain Negeri Sembilan yang merangkumi Seremban dan Rembau.
Johor turut terlibat melibatkan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Di Sarawak, kawasan terjejas termasuk Kuching, Samarahan dan Sri Aman, manakala di Sabah melibatkan Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berlaku dalam tempoh lebih sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mengelakkan aktiviti luar sepanjang tempoh cuaca buruk tersebut.





