SHAH ALAM, 11 APRIL: Dato’ Menteri Besar menegaskan penyertaannya bersama delegasi antarabangsa ke Gaza bukan bermotifkan politik atau agama, sebaliknya berteraskan misi kemanusiaan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata delegasi yang terdiri daripada pelbagai negara, bangsa dan agama itu bersatu membawa satu mesej jelas iaitu Palestin berhak merdeka.
“Berbekalkan tekad dan keazaman untuk menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa keganasan dan kezaliman di Palestin harus dihentikan.
"Kami akan bersama lebih 1000 peserta seluruh dunia dan 100 lebih kapal dalam misi kemanusiaan awam terbesar Global Sumud Flotilla.
“Misi ini bukan membawa mesej politik mahupun keagaaman. Misi ini adalah misi kemanusiaan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Amirudin menjelaskan, misi itu juga jelas menunjukkan bahawa Malaysia tegas menolak sebarang penindasan terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Pada masa sama, beliau turut memohon seluruh rakyat mendoakan semua peserta misi berkenaan berada dalam keadaan selamat dan dilindungi.

“Sebanyak 70,000 nyawa telah terkorban, bekalan makanan, perubatan dan air bersih dihalang, apakah kita harus terus berdiam diri? Genosid di Gaza harus dihentikan.
“Doakan kami, doakan agar semua peserta misi ini dilindungi, dirahmati dan dipelihara,” katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, Amirudin memaklumkan persiapan misi kini memasuki fasa kritikal menjelang pelayaran.
“Hari ini dan esok adalah hari kritikal sebelum permulaan misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang akan belayar dari Barcelona menuju perairan Gaza.
“Insya-Allah saya akan bersama peserta dari Malaysia dan seluruh dunia membawa mesej bahawa rakyat dunia menolak keganasan dan kezaliman terhadap penduduk Palestin. Doakan kami semua,” katanya.
Malaysia akan mengetuai pelaksanaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 dengan menggerakkan lima fasa strategik bagi membantu rakyat Palestin khususnya di Gaza yang terjejas akibat serangan rejim Zionis.
Pada 3 April lalu, Pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan Amirudin akan mewakili Malaysia untuk mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai usaha menyalurkan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Amirudin mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Misi itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree yang akan mengiringi Amirudin sepanjang pelaksanaan bantuan tersebut.









