Kes pukul anggota tentera diklasifikasi semula sebagai bunuh

11 Apr 2026, 8:23 AM
Kes pukul anggota tentera diklasifikasi semula sebagai bunuh

KUANTAN, 11 APRIL: Polis mengklasifikasikan semula kes seorang anggota tentera berpangkat koperal memukul tujuh anggota lain, termasuk menyebabkan seorang daripada mereka cedera parah di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, 31 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas seorang daripada mangsa meninggal dunia pagi tadi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.34 pagi, menyebabkan siasatan kes berkenaan kini dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan perkembangan itu, kertas siasatan yang sebelum ini dibuka di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Zaiham berkata permohonan untuk menjalankan bedah siasat terhadap mangsa juga telah dibuat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Pihak polis akan meneliti semula keterangan yang diambil sebelum ini dan jika perlu sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada 6 April lalu, media melaporkan seorang tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong atas tujuh pertuduhan mencederakan anggota lain, bulan lepas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.