Mahkamah: Koperal tentera dituduh cederakan tujuh anggota

6 Apr 2026, 5:19 AM
Mahkamah: Koperal tentera dituduh cederakan tujuh anggota

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seorang anggota tentera berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tujuh anggota tentera.

Tertuduh, Sukry Tasu, 37, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap anggota tentera Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8.30 malam di stor senjata Kompeni C, Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Bentong pada 30 Mac 2026.

Bagi enam lagi pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap enam lagi mangsa iaitu Mohamad Atiqillah Taugek Rashidi, Muhammad Syakirin Yaacob, Muhammad Azman Shah Ismail, Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin dan Muhammad Danial Asraf Azizan pada masa, tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Muhammad Aiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan pertama, manakala masing-masing RM2,000 bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh dengan satu penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh tidak boleh menghampiri atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Hafiz Baharudin.

Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan kes dan serahan dokumen.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.