SHAH ALAM, 11 APRIL: Prestasi bayaran balik Skim Smart Sewa di Selangor terus mencatat rekod cemerlang apabila kadar kutipan sewa mencecah sehingga 99.9 peratus, sekali gus mencerminkan tahap disiplin tinggi dalam kalangan penyewa.
Pengurus Hartanah dan Penilaian, Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) Rahimah Yusof berkata pencapaian itu direkodkan secara konsisten sepanjang lima tahun berturut-turut.
“Data sehingga 31 Mac 2026 menunjukkan kadar kutipan sewa bagi tempoh 2020 hingga 2024 kekal stabil pada paras 99.8 hingga 99.9 peratus.
“Manakala 2025 turut mencatat kadar tinggi iaitu 99.4 peratus dengan jumlah tunggakan yang minimum,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, prestasi kukuh itu kekal dicapai meskipun berdepan cabaran ekonomi semasa termasuk kesan pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Dalam tempoh sama, penangguhan bayaran yang dilaksanakan pada 2020 dan 2021 susulan pakej rangsangan Covid-19 tidak menjejaskan prestasi keseluruhan kutipan sewa yang kekal tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata keadaan itu membuktikan keberkesanan dasar yang dilaksanakan dalam memastikan komitmen bayaran dalam kalangan penyewa terus konsisten.
Menerusi skim berkenaan, penyewa berpeluang menerima pulangan sehingga 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih selepas tamat tempoh penyewaan, sekali gus menggalakkan disiplin bayaran sepanjang kontrak.
“Ini dapat membantu mereka membentuk tabungan secara tidak langsung yang boleh digunakan sebagai deposit atau menampung kos pembelian rumah.
“Melalui skim ini, peserta ‘menukarkan’ sebahagian bayaran sewa kepada modal bagi tujuan pemilikan rumah,” ujarnya lagi.
Katanya, prestasi cemerlang itu memperkukuh peranan Skim Smart Sewa sebagai inisiatif perumahan inklusif negeri, bukan sahaja menyediakan kediaman mampu sewa, malah membantu rakyat membina kestabilan kewangan dan merancang pemilikan rumah jangka panjang.
“Prestasi memberangsangkan ini menunjukkan peserta memahami konsep serta matlamat Skim Smart Sewa dan kekal berdisiplin dalam menjelaskan bayaran sewa,” katanya.
Skim Smart Sewa merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda perumahan mampu milik untuk rakyat Selangor.
Menerusi skim ini, penyewa diberikan tempoh minimum dua tahun, dengan pulangan semula sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih apabila mereka menamatkan tempoh penyewaan. Tempoh maksimum pula ialah lima tahun.











