Selangor tingkat sokongan OKU, latih penjaga lebih bersedia

11 Apr 2026, 6:00 AM
Selangor tingkat sokongan OKU, latih penjaga lebih bersedia
Selangor tingkat sokongan OKU, latih penjaga lebih bersedia
Selangor tingkat sokongan OKU, latih penjaga lebih bersedia

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kerajaan Negeri terus memperkukuh sistem sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dengan memberi penekanan kepada latihan awal dalam kalangan keluarga dan komuniti.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata langkah itu bertujuan memastikan penjaga lebih bersedia menghadapi cabaran penjagaan.

Menurutnya, usaha berkenaan dilaksanakan melalui pemerkasaan ilmu dan kemahiran penjaga, termasuk membangunkan mekanisme daya tindak yang lebih berkesan dalam mengurus keperluan individu OKU.

Petugas Taska OKU Little Leaders Child Care Centre (LLCC) menunjukkan latihan yang diberikan kepada kanak-kanak istimewa sempena perasmian pusat berkenaan di Shah Alam pada 31 Oktober 2023

“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Modul Ibu Bapa Anak Istimewa Selangor (MANIS) serta Akademi YANIS yang bertujuan meningkatkan keupayaan keluarga dalam memahami dan menangani isu berkaitan OKU secara menyeluruh.

“Melalui program ini, kita bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada keluarga malah membantu mereka membina keyakinan dan kemahiran praktikal untuk menguruskan cabaran harian dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

Dalam masa sama, Anfaal menjelaskan setiap dasar yang dibangunkan Kerajaan Selangor turut mengambil kira keutamaan kumpulan sasaran secara inklusif termasuk Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 serta Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2026-2030.

Tambah beliau, Dasar OKU Negeri Selangor juga kini dalam peringkat akhir dan dijangka diluncurkan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang sebagai langkah memperkukuh lagi agenda kebajikan serta keterangkuman sosial di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Warga Sindrom Down Negeri Selangor, Hanizan Hussin (duduk tiga, kiri) bergambar bersama tetamu jemputan dan kanak-kanak sindrom down ketika Jelajah Pemerkasaan Pengupayaan Kemahiran OKU Sindrom Down di Kuala Selangor Cabin Camp, Kuala Selangor pada 8 Oktober 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Selain itu, katanya, pelaksanaan program Disability Equality Training (DET) hasil kerjasama Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dapat meningkatkan kefahaman majikan mengenai keadilan dan kesaksamaan OKU di tempat kerja.

“Latihan ini penting untuk memastikan syarikat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak berkuasa tempatan benar-benar memahami keperluan golongan OKU dan seterusnya mengintegrasikan elemen inklusiviti sosial dalam dasar serta amalan mereka,” tambahnya.

Anfaal turut menekankan kepentingan pembinaan kapasiti dalam kalangan pembuat dasar melalui pendekatan pengarusperdanaan jantina bagi memastikan setiap polisi yang dirangka mengambil kira keperluan pelbagai kelompok masyarakat secara adil dan saksama.

Ujarnya, pendekatan menyeluruh ini diyakini mampu mewujudkan ekosistem sokongan yang lebih kukuh kepada golongan OKU sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka serta keluarga.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.