OKT warga Pakistan lolos selepas prosiding mahkamah – Jabatan Penjara

10 Apr 2026, 8:34 AM
OKT warga Pakistan lolos selepas prosiding mahkamah – Jabatan Penjara

SHAH ALAM, 10 APRIL: Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan seorang orang kena tuduh (OKT) meloloskan diri daripada kawalan polis selepas selesai prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam, semalam.

Menurut kenyataan Jabatan Penjara Malaysia, kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 8 malam di pekarangan Penjara Sungai Buloh ketika proses penghantaran semula OKT warga Pakistan itu.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan sama memaklumkan pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menahan semula individu terbabit.

“Kerjasama rapat antara agensi keselamatan terus diperkukuh bagi memastikan OKT itu dapat dikesan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Penjara Malaysia menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan tahanan serta orang awam sentiasa terpelihara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang pelanggaran prosedur. Siasatan lanjut berhubung insiden ini sedang dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan polis sedang giat memburu seorang tahanan yang berdepan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak selepas meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata suspek dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, seorang warga Pakistan.

Lelaki itu berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, selain Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kes rompakan dan kesalahan berkaitan imigresen.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhendran di talian 010-430 4383 atau Inspektor Azamuddin di talian 016-566 1597, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.