Tahanan lolos: Polis buka kertas siasatan, teliti isu pelanggaran SOP

13 Apr 2026, 6:24 AM
Tahanan lolos: Polis buka kertas siasatan, teliti isu pelanggaran SOP

SHAH ALAM, 13 APRIL: Polis membuka kertas siasatan bagi mengesan sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berhubung kes tahanan reman warga Pakistan yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh di sini minggu lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kes disiasat di bawah seksyen 223 dan 224 kanun keseksaan, dengan pihaknya kini sedang meneliti jika terdapat sebarang kecuaian atau kelemahan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita juga telah panggil anggota untuk dirakam keterangan selain beberapa individu lain termasuk dari pihak Jabatan Penjara, malah (keterangan) daripada tahanan juga kita ambil yang menjadi saksi kejadian.

“Setakat ini tiada penahanan dilakukan terhadap mana-mana individu cuma ada yang direhatkan daripada tugas aktif,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya percaya suspek Muhammad Hassan, 24, masih berada di sekitar kawasan Sungai Buloh selain usaha mengesan lelaki itu yang telah memasuki hari kelima kini ditingkatkan dengan penyertaan agensi lain.

“Kita percaya tahanan tersebut masih belum berkomunikasi dengan rakan yang lain dan tindakan daripada pihak polis, kita percaya telah berjaya untuk menghalang proses komunikasi tersebut berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pemeriksaan di semua pintu sempadan negara diperketatkan bagi mengelakkan suspek melarikan diri ke luar negara.

Lelaki tersebut melarikan diri daripada kawalan polis di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh pada 6 petang selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.

Suspek yang berdepan pertuduhan berkaitan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak serta kesalahan imigresen itu, kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berwarna oren dan seluar panjang hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhendran Chandra menerusi talian 010-4304383 atau Hotline Bilik Operasi Search and Capture (SAC) 03-61401096.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.