Polis buru suspek kes jenayah seksual kanak-kanak lolos dari Penjara Sungai Buloh

10 Apr 2026, 1:11 AM
Polis buru suspek kes jenayah seksual kanak-kanak lolos dari Penjara Sungai Buloh

SHAH ALAM, 10 APRIL: Polis sedang giat memburu seorang tahanan reman berdepan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata suspek ialah lelaki warga Pakistan dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24.

Menurutnya, suspek berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 377C dan 392 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017.

"Suspek juga berhadapan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017 serta satu pertuduhan mengikut Seksyan 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63.

"Suspek kali terakhir dilihat memakai baju T berwarna oren dan seluar panjang hitam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata pihak polis mempergiat usaha mengesan suspek di sekitar kawasan berhampiran selain melaksanakan pelbagai tindakan susulan sejurus menerima laporan kejadian itu.

"Tahanan ini mempunyai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, justeru orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhendran di talian 010-4304383 atau Inspektor Azamuddin di talian 016-5661597, atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.