SHAH ALAM, 7 APRIL: Universiti Putra Malaysia (UPM) mengiktiraf peranan penting pengamal media sebagai rakan strategik dalam memperluaskan capaian kepakaran, penyelidikan dan pencapaian universiti kepada masyarakat.
Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata sokongan media menjadi tonggak utama dalam memperkukuh reputasi universiti, sekali gus memastikan hasil kajian memberi manfaat kepada umum.
“Peranan pihak media dalam memperluaskan hebahan, mengetengahkan kepakaran universiti serta menyampaikan pencapaian UPM kepada masyarakat amatlah penting dan dihargai.
“Sokongan berterusan ini menjadi antara faktor utama dalam memperkukuh reputasi dan visibiliti UPM di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Promosi UPM Bersama Media 2026, semalam.

Dalam majlis tersebut, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) menerima pengiktirafan utama menerusi Anugerah Liputan Media Tertinggi dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta plak dan sijil.
Pelbagai kategori anugerah turut dipertandingkan termasuk liputan televisyen, radio, portal dalam talian serta media pelbagai bahasa, dengan setiap pemenang utama menerima wang tunai RM500 berserta plak dan sijil.
Media Selangor Sdn Bhd turut menerima pengiktirafan sebagai Rakan Strategik Media berdasarkan komitmen serta potensi kerjasama dalam memperluas capaian dan memperkukuh komunikasi universiti.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Media Selangor, Mahadi Mohd Mustafa berkata penghargaan tersebut mencerminkan peranan signifikan syarikat itu dalam membantu meningkatkan reputasi universiti.
“Ini merupakan simbol pengiktirafan daripada pihak UPM terhadap peranan penting pengamal media, khususnya Media Selangor dalam menyampaikan maklumat serta membentuk masyarakat yang berinformasi,” katanya.








