KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Sebanyak 347 majikan dikenakan kompaun berjumlah RM5,977,500 bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini selepas didapati menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata tindakan tegas itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan berkenaan dalam menangani kedegilan majikan.
Beliau berkata langkah itu juga bertujuan memberikan pengajaran serius kepada pihak majikan agar tidak memandang remeh aspek pematuhan undang-undang negara.
“Tindakan kita akan lebih tertumpu kepada majikan kerana selagi mereka tidak diambil tindakan, warga asing berasakan mereka senang untuk mendapat pekerjaan di negara kita.
"Jika semua majikan bertanggungjawab dan tidak menggaji pekerja asing secara haram, saya percaya tarikan untuk warga asing datang secara tidak sah akan berkurangan,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu di sebuah kilang besi di Balakong, Cheras dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata 1,939 majikan telah dikompaun dengan nilai keseluruhan mencecah RM36,646,000 pada tahun lalu.









