PUTRAJAYA, 9 JUN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 30,801 warga asing atas pelbagai kesalahan setakat 31 Mei lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2,324 individu dikesan menyalahgunakan pas yang diberi, termasuk terlibat dalam aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan mereka ke Malaysia.
Beliau berkata selaras dengan penegasan kerajaan, pihaknya memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing yang melanggar syarat pas serta menjalankan aktiviti pekerjaan atau perniagaan tanpa kebenaran yang sah di negara ini.
"JIM akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan kementerian, agensi penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap pelanggaran undang-undang dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata antara langkah yang diambil termasuklah penubuhan Inspektorat Penguatkuasaan, pelaksanaan operasi bersasar di lokasi tumpuan, tindakan tegas terhadap majikan yang melanggar peraturan imigresen serta pengukuhan operasi bersepadu bersama dengan agensi penguat kuasa berkaitan.
Beliau berkata JIM turut menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan yang memberikan penekanan kepada tindakan terhadap warga asing dan majikan yang melakukan kesalahan imigresen sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pematuhan undang-undang negara.
"JIM kekal komited memastikan kemudahan imigresen yang diberi digunakan mengikut tujuan yang dibenarkan serta menyokong usaha kerajaan dalam memelihara ketenteraman awam, integriti sistem imigresen dan persekitaran ekonomi yang adil kepada semua pihak," katanya.






