SHAH ALAM, 11 JUN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan premis perniagaan di sekitar Sepang yang dipercayai dikendalikan warga asing menggunakan lesen milik rakyat tempatan dalam operasi penguatkuasaan pada 9 Jun lalu.
Agensi itu memaklumkan, seramai 13 warga asing ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti perniagaan serta menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di premis berkenaan.
“Operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap enam buah premis perniagaan yang menjalankan aktiviti kedai runcit dan pasar raya mini. Sebahagian premis juga didapati menjual produk dan barangan yang dikhususkan kepada pelanggan warga asing, khususnya warga Bangladesh.
“Operasi uga mengesan pembayaran dalam talian yang menggunakan kod QR juga ke akaun bank pemilik yang disyaki warga asing,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut JIM, kesemua individu yang ditahan kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, JIM menegaskan tindakan tegas akan diteruskan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen termasuk kesalahan berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.







