SHAH ALAM, 7 APRIL: Sebanyak 1,500 peluang pekerjaan ditawarkan kepada bekas banduan melalui Program Re-Entry MyFutureJobs, inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantu mereka kembali ke alam pekerjaan dan membina kehidupan yang lebih stabil.
EXCO Sumber Manusia V. Papparaidu memberitahu program berkenaan melibatkan 10 majikan dengan pelbagai jawatan merentasi sektor utama ekonomi, dengan sasaran penyertaan kira-kira 300 individu.
“Program ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada golongan sasaran, malah menjadi platform penting dalam menyokong proses pemulihan dan integrasi semula mereka ke dalam masyarakat.
“Daripada jumlah keseluruhan jawatan yang ditawarkan, sebanyak 850 kekosongan menawarkan gaji melebihi RM2,000, manakala 650 lagi di bawah paras tersebut, menunjukkan majoriti peluang adalah dalam kategori gaji lebih baik,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Papparaidu, 1,450 jawatan disediakan di Selangor manakala 50 lagi di luar negeri, menekankan fokus penempatan pekerjaan dalam negeri bagi memudahkan proses penyesuaian semula peserta.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai sektor termasuk pertanian, perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, perkhidmatan makanan dan minuman, serta pentadbiran dan sokongan.
“Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada peserta, malah menjadi platform penting dalam proses pemulihan dan integrasi semula mereka ke dalam masyarakat, sekali gus menyokong usaha mengurangkan kadar pengulangan kesalahan,” ujarnya.
Selain itu, Papparaidu memaklumkan PERKESO Selangor turut mencadangkan pelaksanaan projek perintis untuk membantu individu di bawah Perintah Buang Daerah kembali ke masyarakat melalui peluang pekerjaan.
“Cadangan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia, termasuk pendekatan turun padang ke syarikat bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta membina jaringan kerjasama strategik dengan majikan,” katanya.









