MB: MAPIM setuju bawa delegasi Selangor sertai misi Gaza

29 Apr 2026, 10:00 AM
MB: MAPIM setuju bawa delegasi Selangor sertai misi Gaza
MB: MAPIM setuju bawa delegasi Selangor sertai misi Gaza
MB: MAPIM setuju bawa delegasi Selangor sertai misi Gaza

SHAH ALAM, 29 APRIL: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersetuju dengan cadangan untuk membawa delegasi Selangor ke misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui Global Sumud Flotilla 2.0.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata persetujuan itu dicapai selepas perbincangan dengan pihak penganjur yang bersikap terbuka untuk menerima penyertaan delegasi tambahan, termasuk wakil dari Selangor.

“Alhamdulillah, saya telah berbincang dengan pihak penganjur dan mereka bersetuju serta sangat terbuka untuk membawa delegasi bersama ke sana,” katanya.

“Cadangan penyertaan itu turut disokong rakan-rakan daripada pelbagai latar politik, termasuk Pakatan Harapan, PAS ataupun Perikatan Nasional, mencerminkan kesepakatan dalam isu kemanusiaan sejagat,” katanya ketika menyampaikan ucapan usul penangguhan Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 29 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam masa sama, beliau menegaskan segala keputusan untuk membawa delegasi negeri akan dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan serta kesiapsiagaan semua pihak.

Katanya, perkara itu perlu dirujuk kepada pihak keselamatan, pihak berkuasa negeri dan pentadbiran Selangor bagi menilai risiko serta prosedur operasi yang terlibat.

“Risikonya ada pada sesi ini dan kita kena nilai bersama. Jika kita boleh kurangkan risiko itu, insya-Allah saya bersedia membawa delegasi tersebut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa perkara berkenaan akan dirujuk kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memandangkan baginda amat prihatin terhadap keselamatan, keamanan dan kelangsungan pentadbiran negeri.

Pada 3 April lalu, Pejabat Dato’ Menteri Besar memaklumkan Amirudin mewakili Malaysia dalam mengetuai Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 sebagai usaha menyalurkan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelantikan Amirudin mewakili Malaysia mengetuai misi Global Sumud Flotilla 2.0 ke Mesir bagi membantu melancarkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.