Kerajaan pantau rapat perkembangan misi Global Sumud Flotilla 2.0 - MB

13 Apr 2026, 1:24 AM
Kerajaan pantau rapat perkembangan misi Global Sumud Flotilla 2.0 - MB
Kerajaan pantau rapat perkembangan misi Global Sumud Flotilla 2.0 - MB
Kerajaan pantau rapat perkembangan misi Global Sumud Flotilla 2.0 - MB
Kerajaan pantau rapat perkembangan misi Global Sumud Flotilla 2.0 - MB

BARCELONA, 13 APRIL: Kerajaan akan sentiasa memantau secara rapat perkembangan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bagi memastikan keselamatan setiap peserta dari Malaysia terjamin sepanjang berada di zon berisiko.

Bercakap dari atas kapal melalui pembesar suara kepada para aktivis ketika memantau keadaan mereka yang telah memulakan pelayaran di Laut Mediterranean, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang juga ketua delegasi turut memuji kecekalan delegasi negara yang sanggup berdepan risiko demi misi bantuan tersebut.

“Kita akan memantau keadaan dari semasa ke semasa, memastikan kelancaran, keselamatan kepada semua delegasi yang datang bersama kita,” katanya ketika mendekati peserta misi berkenaan bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan dan rakyat Malaysia.

Amirudin yang diiringi sekumpulan peguam daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) turut memberi kata-kata semangat kepada aktivis Malaysia selain mendoakan agar pelayaran yang membawa bantuan kemanusiaan itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan hingga mencapai matlamat utamanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (kiri) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza serta penyertaan delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

“Sekali lagi kepada semua delegasi Malaysia, saya ucapkan salam tahniah khusus daripada rakyat Malaysia atas pengorbanan yang telah diberikan.

“Kita doakan perjalanan kita yang baru bermula akan lancar, sampailah dapat kita mencapai misi Sumud Flotilla 2.0. Doa rakyat Malaysia untuk anda semua,” katanya.

GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza semalam dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Misi kali ini melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.

Misi itu turut disertai petugas Bernama iaitu wartawan Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan jurugambar Zulfadhli Zulkifli.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.