Selangor perketat perbelanjaan, nilai semula lawatan luar

4 Apr 2026, 8:03 AM
Selangor perketat perbelanjaan, nilai semula lawatan luar
Selangor perketat perbelanjaan, nilai semula lawatan luar

SHAH ALAM, 4 APR: Kerajaan Selangor mengkaji semula keperluan lawatan rasmi ke luar negara sebagai langkah penjimatan susulan perkembangan konflik Asia Barat.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata langkah itu bagi memastikan peruntukan negeri digunakan secara lebih berfokus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

"Negeri tidak mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sebaliknya kita terus meneliti langkah kawalan perbelanjaan termasuk menilai semula program dan dasar yang kurang kritikal.

"Termasuk juga kita akan kaji keperluan lawatan ke luar negara serta jemputan rasmi yang melibatkan pimpinan negeri," katanya.

Najwan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santunan Aidilfitri EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan ADN Kota Anggerik di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar semalam bagi memperkukuh kesiapsiagaan negeri.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan pengurusan kewangan negeri kekal berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan global.

"Kita mahu kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan fokus kepada perkara yang benar-benar penting.

"Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut meneliti langkah bagi membantu masyarakat yang mungkin terkesan susulan situasi semasa," katanya.

Selangor sedang merangka langkah strategik termasuk inisiatif baharu bagi menangani tekanan harga bahan api dan kos sara hidup rakyat susulan konflik Asia Barat.

Dato' Menteri Besar berkata langkah berkenaan dijangka diumumkan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi selepas mengambil kira pandangan serta unjuran pakar ekonomi dan geopolitik dalam Sidang Meja Bulat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, pelbagai pandangan serta unjuran dibentangkan bagi membantu Selangor membuat persediaan rapi menghadapi sebarang kemungkinan perubahan ekonomi global.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.