SHAH ALAM, 4 APR: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda tujuh daerah di Selangor sehingga 4 petang ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), daerah yang terkesan ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Amaran sama turut dikeluarkan di Kuala Lumpur dan Melaka, selain beberapa kawasan di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak.
MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Tambahnya, amaran ini merupakan amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Dalam pada itu, orang awam dinasihat sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.









