SHAH ALAM, 4 APR: Isu pelaksanaan projek mitigasi banjir di beberapa kawasan berisiko di Kota Kemuning akan dibawa ke Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) bulan ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta perkembangan terkini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, S Preakas berkata langkah itu penting bagi memastikan projek terbabit dapat disiapkan sebelum musim monsun, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir berulang.
“Kita ingin mengetahui sejauh mana projek ini dapat disiapkan kerana kita tidak mahu berdepan monsun tanpa persediaan. Saya berharap Kerajaan Negeri dapat mempercepatkan pelaksanaannya,” katanya pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri DUN Kota Kemuning di sini, malam tadi.
Menurutnya, antara kawasan terlibat ialah Seri Muda, Bukit Kemuning, Desa Kemuning, Greenville dan Alam Indah yang sering terjejas ketika hujan lebat.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan isu kesesakan lalu lintas di Kota Kemuning akan dibangkitkan dalam sidang berkenaan, selain keperluan garis panduan berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta kelestarian pembangunan pusat data di Selangor.
Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri DUN Kota Kemuning yang berlangsung meriah malam tadi dengan kehadiran lebih 2,000 pengunjung pelbagai kaum.
Program itu turut diserikan dengan penyampaian duit raya kepada kanak-kanak dan warga emas, sekali gus mengeratkan hubungan dalam komuniti setempat.












