Krisis tenaga global: Kerajaan jamin isu pendidikan tetap diberi keutamaaan

4 Apr 2026, 4:26 AM
Krisis tenaga global: Kerajaan jamin isu pendidikan tetap diberi keutamaaan

KUALA KANGSAR, 4 APR: Isu pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan walaupun dunia kini sedang menghadapi ketidaktentuan susulan krisis tenaga global.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini bagi memastikan mutu pendidikan untuk generasi masa depan tidak terjejas.

Beliau berkata pendirian kerajaan adalah untuk memastikan projek kemudahan pendidikan diluluskan dan dilaksanakan segera tanpa menangguhkannya melainkan projek besar yang memerlukan masa yang panjang namun projek kecil, terutama dalam bidang pendidikan, kesihatan akan terus diberikan keutamaan.

“Banyak negara kerana kebetulan sengketa dan perseteruan dengan negara-negara jiran dan rantau, terpaksa membelanjakan peruntukan yang tinggi untuk keselamatan.

“Oleh itu peruntukan untuk pendidikan itu agak terbelakang. Generasi berikutnya tentu akan terkesan bila mutu pendidikan dan kemudahannya itu agak hambar,” kata beliau dalam ucapan ketika menghadiri Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan timbalannya Wong Kah Woh serta Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Perdana Menteri turut menegaskan dalam sistem pendidikan, penerapan nilai adab adalah suatu perkara yang tidak boleh dipinggirkan dan perlu terus menjadi keutamaan warga pendidik bagi melahirkan generasi yang tinggi moral dan akhlaknya.

Sementara itu, berhubung permintaan tambahan oleh Old Cliffordians’ Association (OCA) untuk SMK Clifford, Anwar berkata ia terpaksa ditangguhkan buat sementara sehingga ekonomi negara kembali stabil.

“Tetapi untuk sekolah, saya telah dengar tadi daripada Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan (Datuk Dr Mohd Azam Ahmad) dan juga beberapa projek yang (dilaksanakan) ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri), Insya-Allah kita segerakan.

“Bila saya katakan segerakan, saya minta pejabat daerah bersama-sama untuk teliti projek ini mesti dimulakan selewat-lewatnya dua minggu (selepas) daripada kehadiran saya,” kata beliau.

Pada majlis berkenaan, Anwar menyaksikan penyerahan cek cura berjumlah RM296,000 yang diluluskan kepada OCA bagi tujuan pemuliharaan bangunan hospital pertama di Kuala Kangsar yang dibina pada 1890 dan berada dalam kawasan SMK Clifford.

Perdana Menteri turut mendengar taklimat berkenaan projek menaik taraf bangunan tersebut yang dijangka siap pada Ogos depan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.