PUTRAJAYA, 3 APRIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memulakan penelitian dan semakan terhadap beberapa seksyen di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 [Akta 333] bagi membolehkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dikenakan hukuman lebih berat.
Ketua Pengarahnya Datuk Aedy Fadly Ramli berkata JPJ melalui bahagian undang-undang sudah memulakan semakan serta penelitian lanjut terhadap Seksyen 44 dan Seksyen 45 APJ 1987.
Beliau berkata proses tersebut dilaksanakan terlebih dahulu sebelum ia dibawa kepada perhatian Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk sebarang ketetapan.
“Menteri Pengangkutan telah mengarahkan MOT dan JPJ meneliti semula Seksyen 44 dan Seksyen 45 di bawah APJ.
“Ini untuk kita kenakan tindakan yang lebih keras dan tegas kepada pesalah yang melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh (DUI) iaitu mabuk ataupun dadah untuk kita kenakan tindakan yang lebih berat,” katanya.

Ditemui pemberita selepas perhimpunan setia JPJ di sini hari ini, beliau berkata JPJ akan menggerakkan program advokasi yang lebih agresif bagi memberi kesedaran bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
“Kita akan buat persediaan untuk advokasi yang lebih agresif untuk antipemandu mabuk di jalan raya,” katanya.
Mengenai cadangan supaya diwujudkan satu mahkamah khas bagi kes kemalangan besar dan serius, Aedy Fadly berkata JPJ mengalu-alukan cadangan berkenaan yang boleh meningkatkan kesedaran umum tentang aspek keselamatan jalan raya.
“Kita mengalu-alukan sekiranya ada keputusan untuk mewujudkan mahkamah yang berasingan, tetapi kita faham ia akan melibatkan beberapa implikasi seperti kewangan, sumber manusia dan sebagainya. Jika ada keputusan kerajaan untuk mewujudkan mahkamah khas itu kita sangat alu-alukan,” katanya.
Isnin lalu, Loke berkata kementeriannya sedang merangka pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 APJ 1987, termasuk mewajibkan pampasan kepada keluarga mangsa.
Pada 29 Mac lalu, seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang, Selangor, dua hari kemudian satu lagi insiden di Jalan Pintasan Kajang–Semenyih menyebabkan enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera, kedua-dua kes disyaki melibatkan pemandu mabuk.
- BERNAMA








