Alasan mahu kekal bertenaga, 12 pemandu positif dadah

17 Jul 2026, 1:54 AM
Alasan mahu kekal bertenaga, 12 pemandu positif dadah

BUTTERWORTH, 17 JULAI: Mahu mendapatkan lebih tenaga ketika memandu merupakan antara alasan paling kerap diberikan pemandu kenderaan perdagangan yang didapati positif dadah dalam Ops Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sejak 1 Julai lepas.

Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kebanyakan pemandu terbabit mendakwa mengambil bahan terlarang itu kononnya bagi membantu mereka kekal bertenaga ketika memandu.

“Ini membuktikan bahawa masih terdapat segelintir pemandu yang memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah dan keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan ribuan pengguna jalan raya setiap hari.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu kenderaan perdagangan di bawah pengaruh dadah kerana tindakan tersebut boleh mengorbankan nyawa orang ramai,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan operasi tersebut di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan di sini, malam tadi.

Zulkifly berkata sejak pelaksanaan operasi bermula 1 Julai hingga semalam, sebanyak 121 pemandu kenderaan perdagangan dan persendirian telah disaring, dengan 12 daripada mereka didapati positif dadah.

Daripada jumlah itu, katanya, 10 ialah pemandu kenderaan barangan manakala dua lagi melibatkan pemandu kenderaan persendirian berusia lingkungan 40an.

Beliau berkata enam daripada 12 individu itu dikesan mengambil kratom (air ketum), lima methamphetamine dan seorang lagi positif tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja.

“Kesemua mereka yang didapati positif saringan air kencing ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut. Sekiranya disabitkan kesalahan, lesen memandu mereka boleh digantung atau dibatalkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan majikan supaya memastikan pemandu yang diupah bebas daripada penyalahgunaan dadah kerana syarikat yang gagal mematuhi syarat pelesenan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, termasuk penggantungan lesen pengendali.

Sementara itu, Zulkifly berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama AADK, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta PLUS Malaysia Berhad bagi memperkukuh budaya pematuhan undang-undang dan meningkatkan keselamatan jalan raya, selain memastikan pemandu kenderaan perdagangan sentiasa berada dalam keadaan kompeten dan bebas daripada pengaruh dadah ketika memandu.

Operasi dijalankan di lokasi strategik termasuk plaza tol, stesen penguat kuasa dan terminal bas bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh dijalankan terhadap pemandu yang dikenal pasti berisiko tinggi.

— BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.