Hanya 60 pemandu jalani pemeriksaan kesihatan menerusi program PSS

25 Nov 2026, 5:00 AM
Hanya 60 pemandu jalani pemeriksaan kesihatan menerusi program PSS

SHAH ALAM, 25 NOV: Hanya 60 pemandu menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) walaupun 282 individu sudah mendaftar setakat 23 November lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata daripada jumlah itu, 31 pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima subsidi pemeriksaan kesihatan, manakala 29 lagi membuat bayaran penuh, lapor Berita Harian.

Menurutnya, sebanyak 1,417 klinik panel turut berdaftar untuk melaksanakan program berkenaan.

“Seramai 31 pencarum PERKESO sudah menerima manfaat subsidi pemeriksaan kesihatan.

“Selain itu, seramai 29 pemandu sudah menjalani pemeriksaan secara bayaran penuh tanpa menggunakan subsidi,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai jumlah penyertaan dan penerima manfaat program itu serta usaha menarik lebih ramai pemandu menyertainya.

Mengulas pendigitalan Borang JPJL8A, Hasbi berkata penghantaran maklumat pemeriksaan kesihatan secara automatik daripada sistem PERKESO ke MySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya, proses integrasi sedang dijalankan bagi membolehkan keputusan pemeriksaan kesihatan pemandu disalurkan terus ke MySIKAP tanpa memerlukan kemasukan data secara manual.

“Integrasi ini bertujuan mengurangkan kemasukan data secara manual, memudahkan semakan keputusan pemeriksaan kesihatan serta meningkatkan kecekapan urusan pelesenan vokasional,” katanya.

Menurutnya, pengintegrasian sistem itu dijangka selesai secara berfasa menjelang akhir 2027 bagi memudahkan pemantauan pematuhan syarat kesihatan pemandu.

Sementara itu, Hasbi berkata cadangan menurunkan had umur penyertaan program akan dibincangkan bersama PERKESO dan pihak berkepentingan dengan mengambil kira masalah kesihatan yang turut dihadapi golongan berusia 30-an.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.