SHAH ALAM, 2 APRIL: Sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik balik selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja pembersihan peralatan.
Perkara itu terbongkar hasil pemeriksaan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis berkenaan.
Berus tersebut kemudian disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai bagi tujuan pengesahan.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata keputusan analisis yang diterima pada Mac mengesahkan berus berkenaan mempunyai ciri fizikal bulu babi.
"Susulan itu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik kilang berkenaan ditarik serta-merta.
"Kilang itu telah beroperasi lebih sedekad dan sebelum ini memiliki sijil halal yang sah dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata, alasan ketidaktahuan tidak boleh dijadikan justifikasi oleh mana-mana premis yang memiliki sijil halal.
Katanya, pemegang sijil halal perlu memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian ditetapkan tanpa sebarang kompromi dalam operasi.
"JAIM akan terus memperhebat pemantauan terhadap premis yang memiliki sijil halal bagi menjamin keyakinan pengguna terhadap status halal produk di pasaran," katanya.






