KUANTAN, 1 APR: Polis menahan seorang anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul tujuh anggota lain termasuk menyebabkan seorang daripada mereka parah di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada bapa mangsa yang berusia 49 tahun, dan menahan suspek, 37, pada jam 2.30 petang semalam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul, menumbuk dan menendang mangsa yang berusia 24 tahun.
“Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa yang juga anggota tentera berusia antara 19 hingga 22 tahun yang berada bersama dalam kejadian berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Seorang mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan memerlukan bantuan pernafasan serta masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh manakala yang lain dirujuk ke Hospital Bentong.
Zaiham berkata kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan suspek yang juga koperal direman empat hari.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
- BERNAMA








