Suami maut, isteri parah kereta terbabas di Sungai Besar

1 Apr 2026, 9:52 AM
Suami maut, isteri parah kereta terbabas di Sungai Besar

SHAH ALAM, 1 APRIL: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, Sungai Besar, hari ini.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 1.25 tengah hari.

“Pasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar yang tiba di lokasi pada 1.53 tengah hari mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga terbabas dan melanggar pembahagi jalan seterusnya terbalik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an yang tersepit di tempat duduk pemandu, wanita berusia 30-an yang cedera parah serta seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kecederaan ringan.

“Difahamkan kesemua mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri bersama anak mereka,” katanya.

Ahmad Mukhlis berkata wanita dan anak perempuannya dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba manakala lelaki terbabit dikeluarkan pada 3.03 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.