SUKMA 2026: Senarai akhir atlet Selangor dimuktamad bulan ini

2 Apr 2026, 1:00 AM
SUKMA 2026: Senarai akhir atlet Selangor dimuktamad bulan ini

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pemilihan atlet Selangor bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 kini memasuki fasa akhir, dengan senarai muktamad dijangka diputuskan bulan ini.

Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Salimi Azmi berkata proses saringan masih berjalan dengan senarai panjang atlet sedang dinilai sebelum setiap persatuan sukan memuktamadkan senarai pendek dalam masa terdekat.

“Pada bulan lepas, kita mengadakan pertemuan dengan semua pengurus dan ketua pasukan. Alhamdulillah, maklum balas diterima, mereka begitu bersemangat untuk memastikan sasaran pingat tercapai.

“Namun, beberapa isu perlu diselesaikan antaranya senarai atlet masih panjang kerana ramai memohon mewakili negeri. Saya yakin bulan ini akan selesai.

“Kedua, beberapa venue yang mempunyai masalah teknikal memerlukan perhatian Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor. Minggu depan saya akan mulakan lawatan ke Kuala Langat yang menjadi hos sukan layar dan yakin semua isu ini akan diatasi segera,” katanya kepada Media Selangor.

Ketua Kontinjen SUKMA Selangor, Abbas Salimi Azmi.

Abbas berkata, persiapan kontinjen Selangor telah bermula lebih awal sejurus selepas tamat SUKMA 2024 di Sarawak.

“Alhamdulillah di Sarawak kita berjaya menyumbang pingat emas dan selepas pulang, kita sudah mula untuk latihan serta bentuk pasukan.

“Persiapan sebegini untuk semua sukan dan persediaan latihan atlet ketika ini amat memuaskan kerana kita sudah membuat persiapan dari awal,” ujarnya.

Pada Februari lalu, Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi memaklumkan kontinjen negeri menyasarkan kira-kira 80 pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

Beliau berkata, Selangor berpotensi muncul juara dalam 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 474 acara yang dipertandingkan membabitkan 37 jenis sukan.

Pada SUKMA 2024 di Sarawak, Selangor menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 181 pingat, iaitu 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa, sekali gus melepasi sasaran ditetapkan.

SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang, manakala Para SUKMA akan diadakan dari 15 hingga 20 September 2026.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.