SHAH ALAM, 1 APR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memeriksa 10 premis stesen minyak dalam operasi sekitar Kota Kemuning malam tadi, bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan yang ditetapkan.
Agensi itu memaklumkan operasi bermula 10 malam memfokuskan tempoh sah lesen barang kawalan dan kebenaran pengoperasian bahan petroleum serta pemeriksaan stok simpanan dengan mematuhi had simpanan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN turut meneliti rekod pengisian diesel bagi memastikan tiada transaksi melebihi 250 liter selain memeriksa dan memantau kenderaan dengan pendaftaran asing.
“Turut diberi perhatian adalah keadaan nozel RON95, RON97 dan diesel supaya berfungsi dengan baik serta status tentusah mesin pam bagi memastikan ia masih sah digunakan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Pada masa sama, pemantauan turut dilakukan bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan selain memastikan kelancaran pelaksanaan Program Budi95 di semua premis terlibat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan boleh menyalurkannya ke laman sesawang rasmi KPDN di eaduan.kpdn.gov.my atau aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000.











