SHAH ALAM, 1 APR: Seramai 19 mangsa kebakaran rumah di PJS2 menerima bantuan segera daripada EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Inovasi Dr Fahmi Ngah susulan insiden pada 28 Mac lalu.
Mangsa kini ditempatkan sementara di Dewan MBPJ PJS4 selepas dua rumah teres dua tingkat musnah dalam kebakaran tersebut.
“Saya sempat menziarahi 19 mangsa kebakaran di PJS2 Taman Medan,” katanya menerusi video di Facebook.
Fahmi yang juga ADN Seri Setia turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa.
“Saya berterima kasih kepada JBPM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, MBPJ, Pejabat Tanah Petaling, Lembaga Zakat Selangor serta semua pihak yang tampil membantu,” katanya.
Media Selangor telah menghubungi pejabat Fahmi bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai bantuan yang disalurkan, namun belum menerima maklum balas setakat ini.
Terdahulu, kebakaran di Jalan PJS2 2D/12, Taman Medan menyebabkan sebuah rumah musnah kira-kira 80 peratus manakala sebuah lagi rosak hampir 50 peratus.
Penolong Pengarah (Operasi) JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.34 petang sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba Jalan Penchala dengan bantuan balai Petaling Jaya dan Subang Jaya.








