Wanita masih tidak yakin keluar malam, Selangor giat tingkat keselamatan

31 Mac 2026, 12:00 PM
Wanita masih tidak yakin keluar malam, Selangor giat tingkat keselamatan

SHAH ALAM, 31 MAC: Tahap keyakinan wanita untuk berada di luar pada waktu malam di Selangor masih rendah, mendorong Kerajaan Negeri mempergiat langkah keselamatan secara menyeluruh tahun ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata hanya 14 peratus wanita berasa yakin untuk keluar pada waktu malam, manakala hampir separuh atau 49 peratus sekadar berasa “agak selamat”.

“Selebihnya pula menganggap situasi itu tidak selamat, menunjukkan isu keselamatan wanita masih perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Menurutnya, pendekatan meningkatkan keselamatan wanita tidak boleh tertumpu kepada kesedaran individu semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan penambahbaikan persekitaran secara menyeluruh.

“Persekitaran yang selamat memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, komuniti dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Antara langkah diambil ialah pelaksanaan program Selangor Bercahaya menggunakan lampu tenaga solar bagi meningkatkan pencahayaan kawasan awam dan mengurangkan risiko jenayah.

Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara sempena Majlis Townhall X Raya Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada isu kebajikan wanita, khususnya ibu tunggal yang berdepan masalah bekas suami culas membayar nafkah.

Anfaal berkata sebuah tabung khas akan diaktifkan semula dan diuruskan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bagi membantu golongan tersebut.

“Tabung ini akan dibuka semula bagi memastikan ibu tunggal mendapat sokongan sewajarnya, terutama dalam tempoh selepas perceraian,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.