SHAH ALAM, 30 MAC: Sebanyak 214.6 kilogram sisa dikutip menerusi Program Jom Bersih Hulu Selangor@Plogging Sungai Alor Lempah, kawasan rekreasi tumpuan di Hulu Selangor baru-baru ini.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan inisiatif itu selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya aspek air bersih, komuniti mampan, penggunaan bertanggungjawab serta pemeliharaan ekosistem darat dan air.
“Program ini dilaksanakan hasil kerjasama dengan Sustainable Solution, Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPHS,” menurut kenyataan di Facebook.

Sisa yang dikutip termasuk logam seperti besi dan aluminium, polisterin, bungkusan makanan, botol plastik dan kaca, plastik sekali guna, sisa binaan, puntung rokok, lampin bayi, fabrik dan pakaian, serta sisa campur.
MPHS turut menyeru pengunjung agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam pengurusan sisa dengan membawa pulang sampah sendiri selepas beraktiviti di kawasan rekreasi berkenaan.
Langkah ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk lebih proaktif dalam menjaga kebersihan dan memupuk tanggungjawab bersama ke arah kelestarian alam sekitar.









