SHAH ALAM, 2 SEPT: Sebanyak 162.2 kilogram (kg) sisa sampah berjaya dikumpulkan menerusi program Jom Bersih Hulu Selangor @ Plogging Sungai Alor Lempah yang diadakan pada minggu lalu.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan program anjuran bersama rakan strategik, Sustainable Solution itu menyasarkan kawasan rekreasi tumpuan iaitu Sungai Alor Lempah.
“Sisa yang berjaya dikumpul termasuk bahan logam seperti besi dan aluminium, polistirena, bungkusan makanan, botol plastik dan botol kaca, plastik sekali guna, sisa lengai, sisa binaan, putung rokok, lampin bayi, fabrik dan pakaian serta sisa campur.
“Kesemua sisa ini diasingkan terlebih dahulu kemudian ditimbang di akhir acara, di mana hasil kutipan ini direkodkan sebagai sebahagian daripada usaha memantau jumlah sampah yang berjaya dikurangkan di sekitar kawasan ini,” katanya menerusi Facebook.
MPHS menambah, inisiatif itu memenuhi keperluan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab), SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air), dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).
MPHS turut menyeru pengunjung mengamalkan budaya 'Bawa Pulang Sampah Anda' bagi memastikan kebersihan dan keindahan alam sekitar sentiasa terpelihara.
Sungai Alor Lempah yang terletak di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu merupakan antara tempat rekreasi air dan berkelah yang popular di Selangor.
Antara tarikan utamanya adalah aktiviti perkhemahan dan rekreasi air seperti water tubing, selain menjadi tumpuan keluarga untuk beriadah pada cuti hujung minggu.








