KLANG, 30 MAC: Kempen menggalakkan murid minum air kosong bakal diperluaskan ke seluruh sekolah di Selangor dalam masa terdekat bagi mengurangkan risiko strok haba susulan cuaca panas yang melanda negara.
Pengerusi Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS) Azhar Mann berkata program itu antara lain bertujuan membudayakan amalan minum air kosong dalam kalangan pelajar.

“Kami lebih risau akan keadaan murid kerana pelbagai perkara boleh terjadi kepada mereka jika kekurangan air,” katanya ketika ditemui selepas program agihan 1,111 botol air mineral kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Andalas di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat NGO Selangor, Nazilah Idris berkata kempen itu turut menekankan kesedaran menjaga kesihatan ketika cuaca panas.
“Walaupun cuaca tidak dapat diubah kerana ia anugerah Tuhan, kita perlu memastikan diri dan keluarga mengambil air secukupnya,” katanya.

Nazilah menambah, pelbagai usaha lain turut dijalankan termasuk edaran risalah dan penganjuran ceramah kesedaran bersama komuniti dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan bagi memberikan ilmu pengetahuan kepada generasi sekarang tentang pentingnya menghidratkan badan ketika cuaca panas,” ujarnya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca panas dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya pada Jun berikutan keadaan atmosfera kering dan taburan hujan yang rendah.








