KLANG, 30 MAC: Sebanyak 1,111 botol air mineral diagihkan kepada pelajar sesi petang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Andalas hari ini, sebagai langkah mencegah risiko strok haba susulan cuaca panas.
Program tersebut dilaksanakan hasil kerjasama antara Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor dan Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS) sebagai usaha proaktif menjaga kebajikan pelajar.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Andalas Azah Razman berkata inisiatif itu menunjukkan keprihatinan pihak sekolah terhadap kesihatan pelajar dalam keadaan cuaca tidak menentu.

“Kami juga merancang menambah penapis air di sekitar kawasan sekolah bagi memastikan murid mudah mengakses air minuman yang bersih,” katanya ketika ditemui.
Menurut beliau, isu strok haba sebelum ini belum pernah dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat PIBG, namun pihaknya berazam untuk memperluas usaha kebajikan pada masa hadapan.

Terdahulu, program berkenaan turut disertai Pengerusi Gabungan Sekretariat NGO Islam Selangor Datuk Nazilah Idris dan Pengerusi KOPENAS Azhar Mann.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca panas dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya pada Jun berikutan keadaan atmosfera kering dan taburan hujan yang rendah.








